Tiga pelajar Orang Asli Kelantan ke SBP selepas sedekad

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan melakar sejarah apabila tiga pelajar Orang Asli di negeri ini berjaya memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas sedekad.
Mereka ialah Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan Muhammad Putra Faizul Ab Ghani dari SK Sungai Rual yang ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, manakala Nor Christina Ranya dari SK Sri Permai pula ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
Pengarah Pendidikan JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad mengakui bukan mudah untuk melihat kejayaan tersebut kerana sebelum ini hanya seorang pelajar Orang Asli berjaya melangkah ke SBP.
“Ia berlaku 10 tahun lalu. Kali ini tiga orang. Kami berharap ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah tiga pelajar ini pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP Kepada Pelajar Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, JPN Kelantan di sini pada Ahad.

Siti Norina berkata, pelajar yang terpilih ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, bukan mudah untuk memujuk ibu bapa Orang Asli melepaskan anak mereka keluar dari pedalaman.
"Namun kita pujuk dengan menggunakan khidmat pasukan khas, alhamdulillah ia berjaya.
"Kita jumpa ibu bapa, maklum dan beri keyakinan kepada mereka, kita akan jaga anak-anak dengan baik," katanya.
Ujar beliau, tahap penerimaan masyarakat Orang Asli terhadap dunia pendidikan semakin baik dan kejayaan ini membuktikan titik tolak kepada perubahan itu.
Katanya, situasi itu membuktikan hasrat Kementerian Pendidikan ingin melihat kemajuan pendidikan dalam kalangan Orang Asli tercapai.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Sungai Rual, Ahmad Hayani Awang berkata, sejak ia ditubuhkan pada 1976 inilah kali pertama pelajar dari sekolah terbabit yang terdiri daripada Orang Asli berjaya ke sekolah terbaik.
"Ia dianggap hadiah untuk saya yang akan berpencen tidak lama lagi dan akan menjadi satu kenangan terindah buat kami guru di sini.
"Alhamdulillah Muhamad Putra Faizul akan ditempatkan di SM (Sekolah Menengah) Sains Tengku Muhammad Faris Petra," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP Kepada Murid Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, JPN Kelantan di sini pada Ahad.
Sementara itu, Muhamad Putra Faizul yang merupakan penyanyi cilik terkenal di SK Sungai Rual, Jeli itu memberitahu dia sangat gembira apabila terpilih untuk memasuki SBP.
Ujarnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mengejar cita-citanya sebagai guru.
Ringkasan AI
- Tiga pelajar Orang Asli di Kelantan berjaya masuk SBP selepas sedekad
- Pelajar tersebut dari SK Kuala Betis, SK Sungai Rual dan SK Sri Permai
- Pengakuan kesukaran oleh Pengarah Pendidikan JPN Kelantan kerana sebelum ini hanya satu kejayaan serupa dalam sepuluh tahun
- Keberhasilan memujuk ibu bapa Orang Asli untuk melepas anak mereka belajar luar kampung
- Peningkatan penerimaan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan ini dianggap sebagai titik tolak perubahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

