Kes Syed Saddiq: Tidak ada unsur peribadi dengan sesiapa, kata Azam Baki

PUTRAJAYA – “Saya tidak rasa kecewa atau suka dalam menyiasat apa-apa kes pun,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata demikian kepada pemberita berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada Rabu.
Menurut Azam, beliau dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengenai keputusan tersebut dan satu rayuan ke Mahkamah Persekutuan akan difailkan.
“Ia bergantung kepada keputusan mahkamah. Saya tidak ada unsur peribadi dengan sesiapa,” ujarnya.
Bagaimanapun, Azam menegaskan bahawa SPRM akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan serta hukuman atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang berlaku tujuh tahun lalu.
Pertuduhan tersebut melibatkan satu kes subahat pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq, 33, untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketika membaca keputusan sebulat suara yang mengambil masa lebih satu jam, Hakim Noorin menyatakan bahawa pertuduhan terhadap ahli politik itu tidak berasas.
Untuk rekod, pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana ARMADA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
