[VIDEO] 'Saya serah soal jodoh kepada takdir dan ketentuan Ilahi ' - Bella

A
A
A

PUTRAJAYA – “Bella ini perempuan, tak manis jika kongsi sebarang perancangan masa hadapan, apatah lagi membicarakan hal itu secara terbuka,” ujar penyanyi Bella Astillah ketika diminta mengulas ura-ura mengenai hubungannya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, memohon semua peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Menurutnya, tiada sebarang perancangan masa depan dapat dikongsikan ketika ini.

“Saya serahkan soal jodoh kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Kalau ada jodoh, Alhamdulillah.

“Bagi Bella, Syed Saddiq seorang yang jujur, ikhlas dan berani. Mungkin ini balasan atas kebaikan yang dilakukan selama ini,” kata pelantun lagu Tenang itu.

Sementara itu, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau belum merancang sebarang fasa seterusnya bersama Bella.

“Fokus utama ialah meraikan kemenangan ini bersama keluarga. Buat masa ini, saya hanya mahu bawa mereka keluar makan,” katanya.

Namun begitu, ketika ditanya sama ada Bella akan turut serta dalam sesi makan tersebut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu hanya tersenyum dan enggan memberikan sebarang komen.

Artikel Berkaitan:

Bella Astilah
Bella Astilah

Terdahulu, Bella dilihat gagal menahan air mata selepas Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu, melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana ARMADA yang berlaku tujuh tahun lalu.

Pertuduhan tersebut melibatkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Susulan keputusan itu, anak kelahiran Johor Bahru tersebut terlepas daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!