Syed Saddiq tiba di mahkamah hadapi keputusan kes

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Rayuan di sini, Rabu, bagi mendengar keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atas empat pertuduhan yang dihadapinya, melibatkan subahat pecah amanah, salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) yang berlaku tujuh tahun lalu.
Syed Saddiq, 33, turut dilihat memeluk ibu bapanya yang hadir memberikan sokongan sejak jam 7.38 pagi.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman selepas mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan itu bersalah atas kesemua empat pertuduhan.
Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya, memohon dibebaskan daripada semua pertuduhan dan agar hukuman tersebut diketepikan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk kepentingan sendiri, iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, antara 8 hingga 21 April 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
