30 wanita dibunuh suami dalam tempoh 115 hari

Dalam tempoh 115 hari, 30 isteri dibunuh suami di Chhattisgarh. Foto hiasan
Dalam tempoh 115 hari, 30 isteri dibunuh suami di Chhattisgarh. Foto hiasan
A
A
A

BHOPAL – Ketika media sosial di India dibanjiri ‘meme’ dan sindiran terhadap golongan isteri berikutan penahanan Sonam Raghuvanshi yang didakwa membunuh suaminya, Raja Raghuvanshi, di Indore, satu realiti yang lebih menggerunkan sedang berlaku di negeri Chhattisgarh.

Media tempatan melaporkan, dalam tempoh hanya 115 hari, seramai 30 wanita telah dibunuh oleh suami mereka, bermakna seorang isteri dibunuh setiap empat hari, menurut rekod rasmi polis.

Kes sensasi di Indore yang membabitkan pasangan pengantin baharu telah mencetuskan gelombang kecaman dalam talian, dengan gelaran seperti ‘isteri pembunuh’, ‘pengkhianat’ dan ‘penjenayah’ diberikan kepada golongan wanita.

Namun di sebalik kekecohan itu, data rasmi dari Chhattisgarh mendedahkan kisah penderaan rumah tangga yang berlaku secara berterusan – bukan sekadar kes terpencil.

Di daerah Dhamtari, sepasang suami isteri muda yang baru berkahwin selama tiga bulan kelihatan bahagia apabila si suami memuat naik gambar bersama isterinya pada 7 Jun lalu. Namun, tiga hari kemudian, dia bertindak menetak leher isterinya dengan sabit.

“Suspek, Dhaneshwar Patel, mengaku membunuh isterinya kerana curiga terhadap kesetiaan wanita itu,” ujar Pegawai Kanan Polis, Manishanker Chandra.

Satu lagi kes berlaku di Balod pada 22 Mac. Awalnya disangka kemalangan jalan raya apabila seorang guru wanita maut di tempat kejadian. Namun, siasatan lanjut mendedahkan ia merupakan satu pembunuhan terancang.

“Seorang rakan kepada suspek, Kayamuddin, mengaku ketika soal siasat bahawa mereka telah merancang pembunuhan itu terlebih dahulu,” kata Pegawai Kanan Polis, Yogesh Patel.

Berdasarkan siasatan polis, daripada 30 kes pembunuhan isteri tersebut, lebih 10 kes berpunca daripada cemburu dan curiga terhadap pasangan.

Artikel Berkaitan:

Enam kes berlaku ketika suami berada dalam keadaan mabuk. Dua kes pula berlaku selepas isteri enggan melakukan hubungan kelamin.

Lain-lain kes melibatkan penderaan domestik, tekanan rumah tangga dan isu permintaan hantaran perkahwinan (dowri).

Profesor Sosiologi, DN Sharma, mengkritik naratif berat sebelah yang tular di media sosial ketika ini, yang seolah-olah menyasarkan kelompok wanita secara umum.

“Reaksi berpilih ini berakar dalam budaya patriarki. Lelaki telah melakukan ribuan pembunuhan, namun apabila seorang wanita terlibat, seluruh jantinanya terus dihukum.

“Menghukum kaum wanita hanya berdasarkan beberapa kes sensasi mencerminkan mentaliti masyarakat yang dominan lelaki dan tidak adil,” tegas beliau.

Pakar turut memberi amaran bahawa masyarakat kini mula menormalisasikan keganasan rumah tangga berbanding mencari penyelesaian.

Statistik dari Chhattisgarh menunjukkan keperluan mendesak untuk menyediakan ruang sokongan, perlindungan dan kesedaran – bukan ejekan serta stigma terhadap mangsa dan wanita. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!