Wanita kehilangan suami, bayi terkilan dituduh tidak jujur

MELAKA – Pembantu tadbir wanita yang diuji dengan kehilangan dua insan tersayang memaklumkan bahawa beliau telah terlebih dahulu memberitahu pegawainya untuk membawa bayinya yang berusia tiga bulan mendapatkan suntikan imunisasi.
Azura Abd Malek Yaher, 37, berkata dalam keadaan sedih, beliau terkilan dengan dakwaan warga net yang menyatakan seolah-olah beliau tidak jujur dalam melaksanakan tugasnya di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Menurutnya, beliau berniat untuk menyertakan surat time slip yang dikeluarkan oleh klinik sebagai bukti, namun tidak kesampaian apabila pulang ke rumah dan mendapati kedua-dua beranak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya dah maklumkan kepada pegawai saya yang saya nak bawa anak ke klinik, malah dalam buku biru arwah anak pun ada dicatatkan untuk pemeriksaan susulan dan mendapatkan suntikan tiga bulan semalam,” katanya.
Terdahulu, berlaku pertikaian dalam kalangan warga net mengenai tindakan Azura yang pulang ke rumah sekitar jam 10 pagi selepas memasukkan kad perakam waktu kerja, bagi membuktikan bahawa beliau berada di pejabat.
Ia susulan kenyataan adik iparnya, Masturadiana Ibrahim, 33, yang menceritakan kronologi kejadian bahawa Azura baru pulang dari tempat kerja sebelum dikejutkan dengan insiden berkenaan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai lemas akibat ditindih tangan bapanya yang terkena serangan jantung di rumah mereka di Kampung Perigi Hang, di sini, pada Khamis.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu disedari Azura yang pulang ke rumah dari tempat kerja untuk membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu, Muhammad Nur Danial Nuruleffendy, mendapatkan suntikan bayi di klinik kesihatan.
Azura berkata, sebaik tiba di rumah, beliau terkejut melihat keadaan bayinya berada di bawah lengan suaminya, Nuruleffendy Ibrahim, 35, yang ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!