Bermegah tayang aksi rempit di media sosial

JSPT Kuala Lumpur mengesan penunggang motosikal melakukan aksi 'Superman'.
JSPT Kuala Lumpur mengesan penunggang motosikal melakukan aksi 'Superman'.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahu cari pengaruh, pengikut dan bermegah di media sosial dengan aksi samseng jalanan yang dilakukan.

Itu merupakan lagak terkini dalam kalangan mat rempit yang dikesan merakam dan memuat naik aksi mereka di aplikasi media sosial.

Bagaimanapun perbuatan yang mengundang perhatian dalam kalangan remaja itu telah dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur untuk menjejak pelaku terbabit.

Mohd Zamzuri memaklumkan pelbagai aksi berbahaya dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan.
Mohd Zamzuri memaklumkan pelbagai aksi berbahaya dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, berdasarkan soal siasat ke atas tangkapan, rata-rata penunggang motosikal ini mendakwa mahu mencari pengaruh daripada kalangan rakan.

“Kita pernah menahan tiga individu yang membuat live memaparkan aksi wheelie.

“Bila kita kesan sahaja perkara itu, anggota Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur akan terus ke lokasi terbabit bagi melakukan tangkapan dan mendapati mereka disahkan turut positif dadah apabila saringan air kencing dibuat,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat JSPT Kuala Lumpur.

Beliau berkata, selain itu, pemantauan di media sosial juga dilaksanakan JSPT Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

REKOD VIDEO, BUAT LIVE

Katanya, pelbagai aksi berbahaya dilakukan kumpulan samseng jalanan ini dan paling popular ialah Superman iaitu dengan cara meniarap dan meluruskan kaki ke belakang, wheelie serta zig-zag.Tambah Mohd Zamzuri, kebanyakan mat rempit itu mencari laluan yang lurus dan panjang seperti Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) bagi menguji kelajuan maksimum motosikal termasuklah dengan melakukan aksi Superman.

Mohd Zamzuri turut hadir dalam Operasi Samseng Jalanan.
Mohd Zamzuri turut hadir dalam Operasi Samseng Jalanan.

“Alasan utama penunggang motosikal terjebak dalam aktiviti samseng jalanan adalah untuk keseronokan dan kepuasan.

“Hasil siasatan, kebanyakan mereka mengakui melakukan aksi berbahaya untuk keseronokan, ada yang rekod video, buat live dan papar di media sosial.

“Mereka ingin mendapatkan pengiktirafan daripada rakan-rakan atau kumpulan masing-masing,” ujar beliau.

Menurutnya, apabila ada elemen sebaran video yang memaparkan aksi berbahaya sedemikian, ia menjadi antara penyumbang mendorong kalangan remaja terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu.

Mohd Zamzuri melihat sebuah motosikal yang telah diubah suai ekzos.
Mohd Zamzuri melihat sebuah motosikal yang telah diubah suai ekzos.

Kata beliau, aksi samseng jalanan itu biasanya akan dilakukan untuk dipertontonkan kepada orang ramai bagi menunjukkan kehebatan mereka.

“Semakin banyak sorakan dan perhatian, semakin kerap aksi itu dilakukan.

“Kini lebih ekstrem kita juga ada mengesan penunggang motosikal membawa pembonceng wanita sambil melakukan wheelie atau aksi bahaya lain,” ujarnya.

Jelas beliau, aksi dengan gaya mengangkat tayar hadapan atau wheelie ini kebiasaan dilakukan di tempat ramai orang berkumpul seperti Dataran Merdeka, Chow Kit, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan hadapan KLCC.

“Jika tidak ramai orang, mereka tidak tunjuk aksi itu, sama juga jika di platform media sosial, jika tidak ramai yang menontonnya, mat rempit ini tidak tertarik untuk ‘beraksi’,” ujarnya.

JSPT Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Samseng Jalanan di sekitar ibu kota.
JSPT Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Samseng Jalanan di sekitar ibu kota.

Dalam pada itu, Mohd Zamzuri berkata, Kuala Lumpur sering kali menjadi pilihan mat rempit kerana ia merupakan pusat bandar raya dan sentiasa dipenuhi pengunjung.

“Jika beberapa tahun sebelum ini, geng-geng ini akan melakukan aksi bahaya bermula tengah malam, tapi sejak kebelakangan ini trend itu sudah berubah.

“Mereka akan mula berkumpul kira-kira jam 2 pagi hingga 6 pagi khususnya pada hujung minggu kononnya beranggapan waktu itu tiada pemantauan pihak polis, tapi sebaliknya kita melakukan lebih banyak siri operasi dan sekatan jalan raya,” ujar beliau.

Katanya lagi, polis percaya mereka yang terjebak dalam aktiviti tidak sihat itu bukan sahaja dari sekitar ibu negara, malah dari daerah berhampiran di Selangor seperti Kajang, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Bagaimanapun, kata Mohd Zamzuri, aktiviti samseng jalanan di ibu negara ini dipercayai tidak melibatkan pertaruhan melibatkan ribuan ringgit termasuklah hingga gadai motosikal sebaliknya hanya sekadar mahu bermegah semata-mata.

Namun apa yang menyedihkan beliau adalah lebih 50 peratus daripada penunggang yang ditahan membabitkan kalangan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.

UBAH SUAI MOTOSIKAL CECAH RM30,000

Mohd Zamzuri berkata, berdasarkan tindakan sitaan yang dilakukan, terdapat pemilik motosikal yang mendakwa melakukan ubah suai kenderaannya itu sehingga mencecah RM30,000.

Pelbagai kesalahan dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan termasuk menggunakan tayar 'sotong'.
Pelbagai kesalahan dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan termasuk menggunakan tayar 'sotong'.

Katanya, sesetengah bengkel menyediakan pakej modifikasi untuk menaikkan kelajuan kapasiti enjin dengan harga promosi bagi menarik minat penunggang motosikal.

“Ada yang sanggup berbelanja sekurang-kurangnya RM3,000 untuk ubah suai enjin, ekzos dan beberapa komponen lain iaitu sekitar 25 peratus daripada harga kenderaan itu.

“Motosikal yang sering digunakan ini pelbagai terutamanya kapcai seperti Yamaha Y15ZR dan Honda EX5,” jelasnya.

Selain itu, ada di antara pengguna motosikal ini tidak menggunakan brek belakang selain tayar ‘sotong’ kononnya untuk mendapatkan kelajuan maksimum.

“Kita dapati ubah suai juga membabitkan swing arm dan sistem elektronik,” ujarnya.

Motosikal tiada brek dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan.
Motosikal tiada brek dikesan dalam Operasi Samseng Jalanan.

Menurut beliau, apabila sekatan jalan raya atau operasi dilakukan, JSPT berdepan dengan ancaman keselamatan oleh samseng jalanan ini.

“Ada antara mereka bertindak agresif dengan melawan arus hingga mahu merempuh anggota polis,” katanya.

Tambah beliau, tindakan agresif itu mengundang kemalangan serius, termasuk kecederaan parah atau kematian yang tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

UBAH ISTILAH JADI SAMPAH JALANAN

Mohd Zamzuri berkata, pihaknya juga sering menerima aduan orang ramai yang bimbang dan tidak selesa dengan bunyi bising motosikal melibatkan kumpulan ini.

Beliau berkata, gelaran samseng jalanan atau mat rempit seolah-olah menjadi kebanggaan bagi mereka.

“Dicadangkan agar istilah itu ditukarkan kepada penjenayah jalan raya atau sampah jalanan bagi menunjukkan keseriusan masalah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!