Fasiliti MRO kipas pesawat bernilai jutaan dolar beroperasi di U10 Shah Alam

SHAH ALAM – Sebuah fasiliti penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) kipas pesawat dengan nilai pelaburan jutaan dolar Amerika Syarikat mula beroperasi di Seksyen U10 di sini sekali gus memperkukuh peranan Selangor sebagai hab aeroangkasa serantau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembukaan fasiliti dikendalikan syarikat APS itu dijangka mampu menyelenggara sehingga 1,000 unit kipas pesawat setahun.
Menurut beliau, perkembangan itu secara tidak langsung menyokong pertambahan pesawat di Asia Pasifik yang diunjurkan mencecah 1,000 pesawat tambahan dalam tempoh 20 tahun akan datang.
"Pembukaan fasiliti ini merupakan satu pencapaian besar kepada industri aeroangkasa negeri dan membuktikan keupayaan anak tempatan menguasai bidang berteknologi tinggi.
"Kami bangga kerana syarikat ini melatih 100 peratus rakyat tempatan untuk menyelenggara dan membaiki komponen gantian kipas pesawat iaitu satu kerja rumit yang sebelum ini hanya boleh dilakukan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10 di sini pada Selasa.
Amirudin menjelaskan, fasiliti itu turut menarik minat pelabur antarabangsa selepas kejayaan promosi Pameran Udara Paris dan Selangor Aero Park dengan empat hingga lima syarikat telah menyatakan minat untuk melabur di Selangor.
"Syarikat (APS) temui kita pertengahan tahun lalu, kini kilang mereka sudah siap dan bakal mula beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Beliau memberitahu, APS turut bekerjasama dengan universiti tempatan untuk menawarkan latihan industri kepada pelajar.
Selain itu, katanya, menerusi kerjasama itu ia juga dapat membangunkan jurutera dan juruteknik tempatan melalui Pusat Latihan MyAero yang bakal dibuka di Sepang dengan kerjasama Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) dan MBI Selangor.
"Kita mahu lahirkan jurutera reka bentuk dan juruteknik berkualiti kerana ini penting untuk pastikan Malaysia bukan sekadar pengguna tetapi juga pemain utama dalam rantaian nilai aeroangkasa,” jelas Amirudin.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APS, Daniel L. Colbert berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi utama fasiliti MRO rantau ini berdasarkan tiga faktor utama.
Jelas beliau, antara faktor itu ialah lokasi strategik, infrastruktur mantap dan akses kepada tenaga kerja mahir.
"Kami dapat mengupah kakitangan tempatan yang sangat berkebolehan, selain proses pelaburan juga sangat lancar dengan sokongan pihak berkuasa seperti MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

