Nahas FRU: Mahkamah keluar waran tangkap kepada pemilik syarikat lori

TELUK INTAN – Mahkamah Majistret Teluk Intan mengeluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat lori muatan batu yang terbabit dalam kemalangan meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bulan lalu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman selepas individu terbabit gagal menghadirkan diri pada prosiding yang ditetapkan pada Selasa.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan untuk waran tangkap.
Media difahamkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghantar saman kepada pemilik syarikat lori tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan di bawah Seksyen 57 dan 58 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Pada 30 Mei lalu, APAD dalam kenyataannya memaklumkan bahawa lesen pengendali syarikat lori muatan batu, Tashveen Trading, telah dibatalkan berkuat kuasa 29 Mei 2025.
Dengan pembatalan lesen pengendali berkenaan, syarikat tersebut tidak dibenarkan mengendalikan atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali itu.
Berdasarkan siasatan, syarikat itu didapati telah membawa muatan yang menyalahi jenis barang yang ditetapkan dalam permit kenderaan serta tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Syarikat yang sama juga didapati gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), gagal memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berfungsi, dan telah tamat tempoh.
Dalam nahas kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan, bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil yang terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Nahas turut mengakibatkan sembilan anggota lain cedera, dengan sebahagiannya parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

