Kerajaan perlu pertimbang intervensi tingkat keselamatan kenderaan berat - PPK

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan disaran mempertimbangkan beberapa langkah intervensi bagi meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan barangan, khususnya melibatkan kenderaan berat dalam sektor komersial serta kenderaan milik kerajaan.
Pasukan Petugas Khas (PPK) Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkata, antaranya meningkatkan tahap pematuhan kepada Kod Amalan Industri SPAD iaitu Keselamatan (ICOP – Keselamatan) di kalangan pengendali kenderaan berat.Menurutnya, syor keselamatan lain yang dicadangkan adalah penegasan kepada agensi dan jabatan kerajaan agar memastikan pemakaian tali pinggang keledar dalam semua kenderaan milik Kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
“Selain itu, agensi dan jabatan kerajaan mempertimbangkan opsyen penggunaan bas bagi pergerakan pentadbiran dan bukan operasi yang melibatkan penumpang, khususnya untuk tujuan rasmi Kerajaan.
“Semua aspek kepatuhan dan operasi itu dilihat perlu dipertimbangkan selepas siasatan awal nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan Perak dilakukan,” katanya dalam laporan awal kemalangan maut melibatkan dua Kenderaan Berat pada 13 Mei 2025.
Sebelum itu, trak FRU membawa 18 anggota daripada Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, selain sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.
Tambah kenyatan itu, kerajaan juga disyorkan untu membangunkan dan melaksanakan sistem pemantauan bersepadu bagi kenderaan komersial, merangkumi teknologi seperti sistem navigasi satelit sejagat (GNSS), kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata yang relevan.
"Memasang kamera papan pemuka pada kenderaan milik kerajaan bagi pemantauan operasi dan keselamatan secara lebih menyeluruh.
"Mewajibkan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan secara mandatori ke atas semua kenderaan berat komersial, termasuk sistem GNSS, kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata.
"Mempertimbangkan peluasan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan kepada kenderaan milik kerajaan, tertakluk kepada penilaian terhadap keperluan operasi khusus serta dasar keselamatan bagi setiap agensi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

