Nahas FRU: Tempat duduk hadapan, belakang trak tiada tali pinggang keledar

Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam baru-baru ini. Foto fail
Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam baru-baru ini. Foto fail
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Siasatan awal berhubung nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 13 Mei lalu mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, belakang termasuk di bahagian pemandu trak.

Laporan awal kemalangan maut melibatkan dua kenderaan berat itu memaklumkan bahawa ketiadaan tali pinggang keledar merupakan risiko keselamatan yang ketara kepada pemandu dan penumpang.

Menurut laporan itu, perkara tersebut disyorkan diberi perhatian serius dan dijadikan keutamaan dalam usaha memastikan tahap keselamatan yang lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini.

“Berdasarkan maklumat siasatan, semasa impak berlaku, sebahagian besar penumpang dipercayai tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke arah sisi hadapan kiri kabin.

“Keadaan ini menyebabkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, yang menyumbang kepada tahap kecederaan yang parah dalam kalangan penumpang.

“Mekanisme kecederaan turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat (unrestrained objects) di dalam kabin, yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran,” menurut kenyataan laporan itu pada Khamis.

Dalam insiden berkenaan, lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi anggota dilaporkan cedera.

Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami, sebelum dilanggar oleh sebuah lori.

Tambah laporan itu, siasatan turut mendapati bahawa tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan lori FRU.

Artikel Berkaitan:

“Ketiadaan kemudahan tali pinggang keledar ini merupakan risiko keselamatan yang ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan.

“Oleh itu, aspek ini disyorkan untuk diberikan perhatian serius dan keutamaan bagi memastikan tahap keselamatan yang lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini," ujarnya

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!