Keselamatan anggota, kenderaan PDRM akan dipertingkat – KPN

KUALA LUMPUR - Aspek penambahbaikan dari segi keselamatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kenderaan pengangkutan termasuk trak yang digunakan untuk bertugas dalam proses perbincangan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membincangkan perkara ini.
Menurutnya, beberapa cadangan khusus sedang diteliti termasuk penggunaan tempat duduk yang lebih selamat dan tersusun bagi mengelakkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Sebenarnya wakil kita ada dalam jawatankuasa itu dan beberapa cadangan telah pun dikemukakan, khususnya dari segi keselamatan tempat duduk.
“Kita mahu pastikan susun atur dan penggunaannya lebih betul dan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-90 Koperasi PDRM di sini pada Jumaat.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, antara isu lain yang turut dibangkitkan ialah penggunaan trak untuk mengangkut pelajar sekolah yang menimbulkan persoalan keselamatan dan akan diteliti lanjut oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
“Kita lihat bukan sahaja dari aspek susunan tempat duduk, tetapi juga isu barangan yang diangkut bersama penumpang. Dalam sesetengah kes, peralatan berat atau barangan operasi diletakkan bersama anggota, dan ini meningkatkan risiko sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Menurut beliau, terdapat keperluan untuk memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan ruang kargo, lebih-lebih lagi dalam perjalanan ke lokasi operasi dan bukan semasa operasi sedang dijalankan.
“Sepatutnya peralatan seperti itu tidak dibawa dalam ruang yang sama dengan penumpang.
“Kita bukan dalam situasi operasi sebenar, ini perjalanan ke tempat operasi, jadi aspek pematuhan keselamatan patut diutamakan,” katanya.
Pada Khamis, punca utama kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu disahkan berpunca daripada tindakan pemandu lori tipper yang memasuki lorong bertentangan.
Laporan awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu mendedahkan bahawa lori tipper berkenaan telah memasuki laluan bertentangan, iaitu laluan yang sedang dilalui konvoi FRU sebelum bertembung dengan trak pasukan itu.
Terdahulu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu pada kira-kira jam 8.50 pagi, 13 Mei lalu.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan anggota lagi mengalami kecederaan.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
