Senarai hitam syarikat kenderaan berat lebih muatan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai isu lori batu bawa muatan melebihi 70 peratus. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai isu lori batu bawa muatan melebihi 70 peratus. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa bertindak menyenarai hitam syarikat kenderaan berat yang didapati membawa muatan berlebihan tanpa sebarang kompromi bagi mengelakkan tragedi kemalangan dahsyat melibatkan pengguna lain seperti nahas membabitkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, undang-undang sedia ada memadai namun penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, tindakan tegas yang konsisten boleh menjadi mesej jelas kepada pengusaha lain agar mematuhi peraturan demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Ini bukan isu baru, jadi paling penting penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dan pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam hal ini... saya harap kalau penguatkuasaan dapat dipertingkatkan, kita boleh boleh kurangkan kes kemalangan.

“Paling penting ialah bagaimana kita boleh mencegah. Jangan biarkan kemalangan berlaku.

"Jadi, dalam soal pencegahan, kalau ada satu kes kemalangan libatkan lori muatan berlebihan, jika siasatan dapati mereka bersalah, syarikat tu sepatutnya disenarai hitamkan dan batalkan lesen (operasi).

“Apabila ada tindakan pembatalan, mesejnya sangat jelas kepada pengusaha lain bahawa pihak berkuasa tidak berkompromi,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!