Seorang maut, dua cedera nahas tiga kenderaan

Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Ladang Al-Yatama, di sini, malam Isnin.
Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Ladang Al-Yatama, di sini, malam Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 60, Jalan Johor Bahru - Mersing, berhampiran Ladang Al-Yatama, di sini, malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 malam melibatkan sebuah Honda Stream, lori jenis Hino dan pacuan empat roda (4x4) Toyota Hilux.

“Honda Stream dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama penumpang lelaki berusia 33 tahun, manakala lori Hino dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun dan Toyota Hilux pula dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda Stream dari arah Mersing menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Lori yang datang dari arah bertentangan sempat mengelak ke kiri, namun Honda Stream berkenaan bergesel di bahagian kanan lori tersebut sebelum bertembung secara berdepan dengan Toyota Hilux yang berada di belakang lori itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pemandu Honda Stream disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan, manakala penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan tersebut.
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan tersebut.

Ujarnya, pemandu Toyota Hilux pula cedera parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusof berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi serta BBP Penawar bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan.

“Terdapat seorang mangsa maut yang terperangkap dalam kenderaan. Dua lagi mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pasukan bomba tiba.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang maut menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!