Remaja maut, dua cedera nahas empat kenderaan

Keadaan Honda CRV dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan terbabit
Keadaan Honda CRV dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan terbabit
A
A
A

KULAI – Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1.56 pagi itu membabitkan empat kenderaan, iaitu tiga buah motosikal dua jenis Yamaha 135LC dan sebuah Yamaha Y15ZR serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135LC melanggar bahagian belakang kereta Honda CR-V yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang bergerak lurus.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang terbabit hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Kejadian itu turut menyebabkan dua lagi motosikal jenis Yamaha 135LC dan Y15ZR yang berada berhampiran hilang kawalan dan turut terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibatnya, penunggang motosikal pertama mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Jelasnya, pada masa sama, penunggang motosikal kedua mengalami kecederaan patah kaki kanan serta luka di tangan, manakala penunggang ketiga hanya mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan serta dirawat sebagai pesakit luar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!