Seorang lelaki maut, seorang parah nahas 3 kenderaan

SEGAMAT - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam nahas tiga kenderaan di Sungai Karas, Jalan Labis-Chaah awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.10 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penguasa Bomba Kanan I Hairishah Wahid berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan mengenai nahas tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi.
"PKO tiba di lokasi dalam tempoh lima minit selepas menerima panggilan dan mendapati nahas terbabit melibatkan
sebuah kereta Proton Waja, Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Cross.
"Pemandu Perodua Myvi dan Proton Waja didapati tersepit, namun berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Nor Hirwan Mazlan, 43, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera parah, R Chandan, 48, dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.
Pemandu SUV jenis Toyota Cross, Yong Chee Moi, 53, pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi berjaya dikawal pada jam 7.55 pagi serta ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.46 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!