Dua warga Kemboja ceroboh Taman Negeri Kenyir ditahan

Dua warga Kemboja ditahan dalam Ops Telah selepas didapati menceroboh kawasan Taman Negeri Kenyir tanpa permit sah. FOTO: MPTN
Dua warga Kemboja ditahan dalam Ops Telah selepas didapati menceroboh kawasan Taman Negeri Kenyir tanpa permit sah. FOTO: MPTN
A
A
A

HULU TERENGGANU – Dua lelaki warga Kemboja ditahan selepas didapati menceroboh kawasan Taman Negeri Kenyir tanpa permit yang sah, dipercayai bagi tujuan mengambil hasil hutan termasuk gaharu.

Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu, Tengku Datuk Mohd Arifin Tengku A Rahman berkata, tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu Ops Tekah pada 18 Jun lalu susulan aduan orang awam yang mengesan kelibat individu tidak dikenali di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir.

Lokasi sekitar kawasan suspek ditahan di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir. FOTO: MPTN
Lokasi sekitar kawasan suspek ditahan di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir. FOTO: MPTN

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis untuk memasuki kawasan berkenaan.

“Dua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu kini direman selama 14 hari oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 18(1)(j) dan Seksyen 20(1) Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 kerana memasuki taman negeri tanpa kebenaran serta disyaki cuba mengambil hasil hutan dilindungi seperti gaharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Antara barangan milik suspek yang dirampas dalam Ops Tekah di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir. FOTO O: MPTN
Antara barangan milik suspek yang dirampas dalam Ops Tekah di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir. FOTO O: MPTN

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman minimum sekali sebatan juga boleh dikenakan ke atas pesalah,” katanya.

Tengku Mohd Arifin menegaskan bahawa MPTN Terengganu tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mengancam kelestarian taman negeri yang telah diwartakan.

“Kami komited dalam usaha memelihara dan melindungi khazanah alam semula jadi, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar peruntukan Enakmen Taman Negeri 2017,” ujarnya.

Operasi bersepadu itu melibatkan seramai 16 anggota penguat kuasa daripada MPTN, Pasukan Polis Marin Tasik Kenyir, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Hulu Terengganu serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!