Warga emas didenda RM6,000 miliki senapang patah, peluru tanpa permit

Omar (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Khamis.
Omar (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI – Seorang warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan lebih 100 butir peluru tanpa permit.

Tertuduh, Omar Busari, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 21 Februari 2025 lebih kurang jam 12 tengah hari di sebuah ladang di Pasir Panjang, tertuduh didapati memiliki selaras senapang patah tanpa lesen atau permit sah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, waktu dan tempat sama didapati memiliki 108 butir peluru jenis buckshot (12 bore) tanpa permit.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah M Safri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Afiqah Hambali.

Omar (kanan) didenda RM6,000 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan lebih 100 butir peluru tanpa permit.
Omar (kanan) didenda RM6,000 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan lebih 100 butir peluru tanpa permit.

Peguam bela dalam rayuannya memohon denda minimum atas alasan ini adalah kesalahan pertama tertuduh yang juga seorang duda, tidak bekerja serta menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh ditahan dalam satu operasi selepas dipercayai memiliki senjata api untuk memburu secara haram di sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata hasil pemeriksaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, dua lelaki berusia 65 dan 39 tahun ditahan, selain beberapa senjata api serta komponen berkaitan turut dirampas.

"Suspek pertama berusia 65 tahun mengaku memiliki senapang patah yang digunakan untuk memburu haiwan secara haram dan tidak memiliki lesen senjata yang sah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!