Hina Agong: UiTM kecam tindakan, serah siasatan kepada polis

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang kakitangannya yang dipercayai membuat hantaran di media sosial berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati, khususnya yang melibatkan Institusi Diraja, agama, bangsa, dan kepimpinan negara.
Ujarnya, individu terbabit kini sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“UiTM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"UiTM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin dan perundangan dalam kalangan warga kampus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, selain mempersenda Institusi Diraja, individu tersebut turut menggunakan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempertikaikan pelantikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan dakwaan tidak berasas yang bersifat fitnah dan berunsur politik.
Tegas Shahrin, UiTM turut mengingatkan seluruh warga universiti agar sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta mematuhi undang-undang negara dan memelihara keharmonian masyarakat serta imej institusi.
"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme dan patriotisme, UiTM menegaskan komitmennya untuk mempertahankan maruah universiti dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencemarkan nama baik institusi, Institusi Diraja mahupun negara," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

