Maritim siasat video tular penumpang pandu bot pelancong

Tangkap layar video tular menunjukkan penumpang memandu bot pelancong.
Tangkap layar video tular menunjukkan penumpang memandu bot pelancong.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang penumpang mengemudi bot pelancong di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Video berkenaan turut menunjukkan beberapa penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika bot tersebut bergerak laju, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pengangkutan laut di kawasan pelancongan terbabit.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian apabila nakhoda bot membenarkan individu tanpa kelayakan mengendalikan bot serta gagal memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan.

“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam nyawa penumpang. Bot penumpang sepatutnya dikendalikan oleh individu yang berlesen dan terlatih,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pihak Maritim akan memanggil pengusaha bot terbabit dalam masa terdekat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesalahan itu boleh disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952, yang memperuntukkan hukuman seperti denda, penggantungan lesen dan penahanan bot terhadap pengusaha yang cuai.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Setiap pengusaha perlu bertanggungjawab dan tidak sesekali memperjudikan nyawa penumpang,” tegasnya.

Beliau menambah, pihaknya akan terus memantau kandungan media sosial yang memaparkan pelanggaran aspek keselamatan laut dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang terlibat.

Katanya lagi, Maritim Terengganu kini giat melaksanakan rondaan dan aktiviti pencegahan carilamat di jeti-jeti penumpang sekitar negeri ini, selain menyampaikan peringatan keselamatan kepada komuniti nelayan, pengusaha bot pelancong dan para penumpang.

Artikel Berkaitan:

“Pengunjung yang ingin ke kawasan peranginan dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri ketika menaiki bot atau menjalankan aktiviti air, termasuk memastikan kelengkapan keselamatan seperti jaket keselamatan digunakan dengan betul.

“Orang ramai dan komuniti maritim juga diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang melanggar undang-undang di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-746 4357 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!