Nelayan dilaporkan hilang di perairan Kuala Terengganu

Maritim Malaysia Terengganu telah mengaktifkan Ops Carilamat bagi mengesan mangsa dan akan disambung pada pagi Khamis. Gambar kecil: Mohd Noor
Maritim Malaysia Terengganu telah mengaktifkan Ops Carilamat bagi mengesan mangsa dan akan disambung pada pagi Khamis. Gambar kecil: Mohd Noor
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan seorang diri dari Jeti Tok Jembal, Kuala Nerus sejak petang Selasa.

Mangsa, Mohd Noor Abdullah, 54, dilaporkan keluar ke laut sekitar jam 2 petang pada hari sama namun masih belum pulang ke rumah sehingga tengah hari Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kehilangan Mohd Noor disedari ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat kira-kira jam 12.35 tengah hari.

"Maritim Malaysia Negeri Terengganu menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 3 petang dan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan sejam kemudian.

“Sebuah bot PENGGALANG 45 Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi pencarian yang tertumpu di perairan sekitar Pulau Bidong dan Pulau Yu berdasarkan laluan kebiasaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, komuniti nelayan tempatan turut membantu usaha pencarian mangsa.

“Mohd Noor dipercayai turun ke laut menaiki bot fiber berwarna hijau dan merah sepanjang 17 kaki, dan bergerak bersendirian tanpa sebarang sistem komunikasi lengkap.

“Insiden ini menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai pentingnya aspek keselamatan dan peralatan komunikasi semasa berada di laut, khususnya bagi mereka yang turun seorang diri,” katanya.

Beliau berkata, operasi akan disambung pagi Khamis memandangkan keadaan cuaca mulai gelap.

Artikel Berkaitan:

“Orang awam, khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat atau terlihat bot mangsa, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357 atau talian kecemasan 999,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!