Bapa tunggal didakwa miliki pistol tiruan, 30 butir peluru

MELAKA – Seorang bapa tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin, atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan dan 30 butir peluru ball bearing, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan bapa kepada seorang anak orang kurang upaya (OKU), Tan Soo Kian, 43, mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Berdasarkan dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, dia didapati telah memiliki sepucuk pistol tiruan jenama ‘Pietro Beretta Gardone VT’ buatan Itali bernombor siri E202265Z dan 30 butir peluru ball bearing yang digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
Pendakwaan bagi pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap kereta sehingga menyebabkan penama Tan Wei Kuan, 36, mengalami kerugian sebanyak RM500.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Johor, Taman Semabok, Semabok, di sini, kira-kira jam 12.24 tengah malam, pada 8 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian, mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua tiga pertuduhan tersebut.
Peguam Saravanan Rajandran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan kerana anak guamnya hanya berniaga dalam talian serta menjaga dua anak kembar berusia 14 tahun termasuk seorang OKU.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 serta syarat tambahan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai depan untuk serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!