PAC mulakan prosiding pengurusan lapangan terbang awam pada Isnin

Mas Ermieyati Foto Bernama
Mas Ermieyati Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding pengurusan lapangan terbang awam terutama berkait dengan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Isnin.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding akan bermula dengan memanggil wakil Kementerian Kewangan (MoF) dan MAHB.

“Petangnya (pula) kita panggil Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). Selasa kita akan panggil MoF dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP.

“Pengurusan lapangan terbang ini isu besar dari segi kenaikan (harga) tiket dan aerotrain (pula) sampai hari ini tidak selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian lagu, uniform baharu dan Sri Peguam di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Tun Ismail Aziz.

Sebelum ini media melaporkan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam tersebut sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Bersatu berkata, prosiding berkenaan dijangka berlangsung dalam tempoh panjang disebabkan banyak pihak yang perlu dipanggil.

Menurut beliau, bukan isu penjualan saham semata-mata yang akan dibangkitkan tetapi lebih daripada itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan panggil Ketua Setiausaha (KSU) MoT pada Selasa dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Macam saya cakap (sebelum ini), saya juga tidak menolak untuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir. Kalau ada keperluan, kita akan panggil. Malahan sesiapa sahaja, kalau kita rasa perlu panggil, kita akan panggil,” ujarnya.

ENDS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!