Sultan Kedah bimbang ajaran sesat ancam keselamatan negeri

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa perkembangan semasa yang dilihat mampu mengancam keselamatan dalam negeri khususnya berkaitan penyebaran ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Baginda turut memberi peringatan agar sebarang bentuk kupasan agama, ceramah mahupun dakwah yang disampaikan kepada masyarakat hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan ketepatan supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Titah Baginda, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, masjid, surau dan institusi pendidikan agama perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membendung ajaran sesat, fahaman menyimpang serta pengaruh radikal dengan pendekatan tegas namun berhemah.
“Peranan para ulama, imam dan pendakwah yang diiktiraf dan bertauliah amat penting dalam membimbing masyarakat ke arah kefahaman Islam yang sebenar,” titah Baginda sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, pada Ahad.
Sultan Sallehuddin turut menegaskan bahawa segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang.
“Perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk memerlukan sensitiviti serta saling menghormati antara satu sama lain. Kedah adalah sebuah negeri yang meraikan kepelbagaian, dan ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipikul dengan penuh kesedaran dan keprihatinan,” titah Baginda.
Baginda mahu setiap individu sentiasa menghormati prinsip-prinsip tersebut demi memastikan perpaduan yang kukuh terus terpelihara di negeri ini.
Sultan Kedah turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memelihara sejarah dan warisan negeri, agar Kedah terus dikenang bukan sahaja sebagai negeri tertua, tetapi sebagai negeri yang paling arif menjaga asal usulnya.
“Betapa pentingnya menulis semula sejarah Kedah secara tepat oleh ahli sejarah berwibawa, dan bukan bergantung semata-mata kepada naratif peninggalan penjajah.
“Beta mahu agar khazanah sejarah negeri ini diwariskan kepada generasi muda supaya mereka tidak terputus daripada akar asal usulnya,” titah Baginda.
Baginda turut menekankan bahawa Kedah merupakan negeri tertua dalam sejarah Tanah Melayu. Kesultanan Kedah sejak dahulu telah memainkan peranan penting dalam pembangunan tamadun negeri, menyebarkan Islam serta menegakkan pemerintahan berlandaskan nilai dan adab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!