Kebakaran di Masai: Kualiti udara terkawal, pemantauan diteruskan JAS

JOHOR BAHRU – Hasil pemantauan kualiti udara di beberapa lokasi sekitar Masai pada malam Sabtu mendapati tiada bahan pencemar berbahaya dikesan, sekali gus menunjukkan keadaan udara masih terkawal.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pemantauan yang bermula seawal jam 8 malam melibatkan tiga lokasi utama, antaranya Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri dan Pos Kawalan Bomba di Jalan Kempas 12.
"Menurut laporan, tiada bacaan sebatian organik meruap (VOC) direkodkan di kesemua lokasi pemantauan. Namun begitu, bacaan ammonia dikesan di kawasan Pos Kawalan Bomba, tetapi masih di bawah paras AEGL-2, iaitu tahap yang belum memberi kesan serius terhadap kesihatan.
“Sehubungan itu, pihak berwajib memaklumkan bahawa pemantauan kualiti udara akan diteruskan hari ini (22 Jun 2025) sebagai langkah kawalan dan berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Zon I, Penguasa Kanan Bomba Il Rosfarawadi Ismani Ismail dilaporkan berkata sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi, termasuk 15 kenderaan yang turut musnah.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.54 tengah hari dan sebanyak 34 anggota serta aset dari beberapa balai bomba, termasuk pasukan sukarela, dikejarkan ke lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


