Tiga hari padam kebakaran di Masai

Anggota bomba berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran sejak Sabtu lalu itu pada petang Isnin. Foto: JBPM JOHOR
Anggota bomba berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran sejak Sabtu lalu itu pada petang Isnin. Foto: JBPM JOHOR
A
A
A

PASIR GUDANG – Kebakaran besar melibatkan kawasan penyimpanan lori dan minyak di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri di sini akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada petang Isnin.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I), Zaipulbahri Mat Rusok berkata, operasi memadam kebakaran yang bermula pada Sabtu berjaya dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 2.35 petang Isnin.

Anggota bomba ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri. Foto: JBPM JOHOR
Anggota bomba ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri. Foto: JBPM JOHOR

"Operasi tersebut melibatkan kekuatan 37 anggota dari lapan balai bomba termasuk Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin, PBS Mount Austin, PBS Ulu Tiram dan Pasukan Khas Hazmat JBPM Johor," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, operasi menghadapi cabaran besar berikutan struktur kawasan kebakaran dipenuhi tong-tong minyak bersaiz besar serta angin kuat yang menyebabkan api cepat merebak.

"Kebakaran besar ini akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kerja-kerja pemadaman dan 'overhaul' dijalankan.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 700 x 700 kaki persegi dan memusnahkan hampir 92 peratus kawasan sebelum dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir (kiri) ketika melawat lokasi kebakaran.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir (kiri) ketika melawat lokasi kebakaran.

Dalam kejadian itu, seorang pegawai bomba dilaporkan cedera ringan semasa menjalankan tugas.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri.

Premis itu membabitkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori.

Beberapa video dan gambar yang memaparkan asap tebal serta beberapa individu awam berada berhampiran lokasi kejadian turut tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!