Siasat kilang haram punca kebakaran di Masai - Exco Johor

Operasi pemadaman kebakaran membabitkan premis kilang berhampiran Taman Megh Ria, Masai.
Operasi pemadaman kebakaran membabitkan premis kilang berhampiran Taman Megh Ria, Masai.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan berhubung kewujudan beberapa kilang yang dipercayai beroperasi secara haram di kawasan kebakaran berhampiran Taman Megah Ria, dekat Masai pada Sabtu lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, siasatan awal mendapati lebih separuh daripada unit kilang yang terlibat tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mohd Jafni
Mohd Jafni

“Siasatan mendapati ada beberapa lot tanah yang tidak pernah membuat permohonan lesen kepada PBT.

“Bila tiada lesen, maknanya tiada kebenaran merancang, tiada kelulusan teknikal termasuk pelan bangunan, dan juga tiada kelulusan daripada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Ahad.

Sebelum itu, pada Sabtu, media melaporkan sebanyak tiga premis kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, berhampiran Taman Megah Ria, Masai.

Premis tersebut melibatkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Rosfarawadi Ismani Ismail berkata, kejadian pada jam 12.54 tengah hari itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurutnya, lima balai bomba dengan kekuatan 34 anggota serta sembilan jentera dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, keadaan itu menunjukkan pembinaan dan operasi kilang berkenaan dibuat secara haram, sekali gus tidak dilindungi oleh mana-mana pihak termasuk insurans sekiranya berlaku sebarang insiden.

“Daripada semakan kita di peringkat PBT, memang sah lebih separuh premis di kawasan itu tidak pernah memohon sebarang lesen. Maksudnya, senang cakap, memang kilang haram.

"Cuma, kita masih belum mengenal pasti semua pihak yang menyewa lot-lot tersebut kerana tanah itu milik individu dan disewakan kepada beberapa pengusaha kilang,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan lanjut bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang, beliau berkata, penguatkuasaan akan dipertingkatkan termasuk melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan padat dan terpencil.

“Kalau kawasan itu berada dalam zon industri, mereka masih boleh memohon kelulusan.

"Tetapi jika berada dalam zon pertanian dan dibangunkan secara haram, ia jelas melanggar undang-undang dan kita boleh ambil tindakan,” katanya.

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa isu keselamatan menjadi keutamaan memandangkan kebanyakan premis haram ini tidak mempunyai kelulusan bomba serta kelengkapan keselamatan seperti alat pemadam api.

“Kita bimbang jika berlaku kebakaran, tiada sistem keselamatan yang boleh mencegah atau mengurangkan risiko. Oleh itu, pemantauan ini sangat penting,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!