Penganalisis sokong kementerian khas untuk polis

SHAH ALAM - Struktur keselamatan negara mampu diperkukuh dengan lebih berkesan sekiranya PDRM mempunyai kementerian sendiri dan tidak lagi kekal di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, model Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) boleh dijadikan asas kepada pembentukan kementerian khusus bagi PDRM.
“Jika kerajaan boleh menubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sebelum ini berasal daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), maka tiada sebab PDRM tidak boleh mempunyai kementerian sendiri.
“Ia sejajar dengan kepentingan dan sumbangan besar PDRM terhadap keselamatan serta kestabilan negara,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menyatakan bahawa PDRM kini menjadi agensi ketiga terbesar selepas sektor kesihatan dan pendidikan, ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Menurut Mohamad Faisol, penubuhan kementerian khas untuk PDRM juga wajar memandangkan agensi itu kini menjadi antara entiti keselamatan terbesar negara bersama ATM.
Katanya, dalam konteks keselamatan Malaysia masa kini, tumpuan lebih besar perlu diberikan kepada ancaman dalaman berbanding luaran, sekali gus menjadikan keperluan memperkasakan kuasa dan struktur PDRM semakin relevan.
“Sepertimana ATM berada di bawah Mindef, adalah wajar PDRM mempunyai kementerian sendiri yang memberi fokus penuh kepada pengurusan, operasi dan pembangunan sumber manusia dalam organisasi tersebut.
“Ini juga membolehkan aspek logistik, dasar serta perancangan keselamatan dalaman dilaksanakan dengan lebih tepat, sistematik dan menyeluruh,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
