Kementerian Luar Negeri pantau keadaan keselamatan di Qatar

Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha, mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar serta terus memantau perkembangan di lapangan.
Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha, mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar serta terus memantau perkembangan di lapangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas ekoran tindakan Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha, mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar serta terus memantau perkembangan di lapangan.

“Kerajaan juga akan terus menilai keadaan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Qatar. Kemas kini akan disediakan melalui saluran media rasmi jika perlu,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar agar terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan tempatan dan terus berhubung dengan kedutaan bagi menerima maklumat terkini serta nasihat yang tepat pada masanya.

Ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di rantau Asia Barat juga boleh menghubungi Kementerian Luar Negeri untuk maklumat lanjut di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran menegaskan bahawa pihaknya komited untuk terus mengekalkan hubungan mesra dengan Qatar meskipun melancarkan serangan ke atas Pangkalan Tentera Udara Al Udeid yang terletak di negara Teluk itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, serangan tersebut merupakan langkah ketenteraan yang bersasar dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk awam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!