46 warga asing merusuh di asrama pekerja ditahan

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan 46 lelaki warga asing selepas mereka bertindak merusuh dan merosakkan sebuah van milik syarikat di pekarangan bangunan The Summit, di sini, pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian kira-kira jam 10.42 malam itu berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan pekerja warga asing terhadap warden asrama yang didakwa mengutip denda secara peribadi apabila pekerja melanggar peraturan syarikat.
“Bangunan berkenaan merupakan asrama pekerja milik sebuah syarikat yang beralamat di kawasan perindustrian Bukit Minyak.
"Syarikat berkenaan menetapkan peraturan bahawa pekerja tidak dibenarkan merokok atau meminum minuman keras di asrama mereka.
"Bagaimanapun, beberapa pekerja mendakwa warden asrama mengutip denda ke atas mereka tanpa pengetahuan majikan dan ia mencetuskan ketegangan sehingga mereka bertindak berkumpul dan merosakkan van milik syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
"Pekerja asing dinasihatkan agar mematuhi peraturan dan menggunakan saluran yang betul sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati di tempat kerja," katanya.
Terdahulu, tular satu klip video dan beberapa keping gambar memaparkan rusuhan sekumpulan lelaki di sebuah bangunan yang dipercayai melibatkan warga asing.
Rusuhan tersebut bagaimanapun dapat dikawal setelah polis tiba di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!