Kebakaran kereta cetus panik, 11 lelaki warga asing alami sesak nafas

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki warga asing mengalami sesak nafas selepas sebuah kereta terbakar di kawasan parkir aras bawah tanah sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini pada Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.56 pagi.
"Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian," menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Teana yang terbakar pada bahagian enjin dengan anggaran kemusnahan sekitar 30 peratus.
"Kejadian itu menyebabkan 11 mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap, dan kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Enam mangsa dihantar menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua lagi dibawa oleh kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), manakala selebihnya dihantar menggunakan ambulans HKL," jelas kenyataan itu.
Unit Siasatan Kebakaran turut diarahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
