Dua lelaki warga asing mengaku tidak bersalah rasuah penguat kuasa MBIP

Samar (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM680 kepada penguat kuasa MBIP, November lalu.
Samar (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM680 kepada penguat kuasa MBIP, November lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 di sini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamal Arifin Ismail pada Khamis.

Bagi kes pertama, seorang lelaki warga Pakistan, Samar Iqbal, 30, didakwa memberi wang tunai berjumlah RM680 kepada Syed Hanif Syed Nasir dari Jabatan Penguatkuasaan MBIP kira-kira jam 3.25 petang pada 9 November 2024.

Kejadian itu didakwa berlaku di premis BK Briyani House, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Mengikut kertas pertuduhan, suapan tersebut diberikan sebagai balasan agar tiada tindakan dikenakan terhadap tertuduh yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Tertuduh didakwa mengikut UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBIP 2018 serta Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia memandangkan tertuduh bukan warganegara.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira status tertuduh yang telah berkahwin dengan warganegara Malaysia sejak 2020 dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Shah Alam (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM500 kepada penguat kuasa MBIP September lalu.
Shah Alam (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM500 kepada penguat kuasa MBIP September lalu.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh dan isterinya mengusahakan kedai makan, BK Beriani House di Kempas, Johor, dengan sijil SSM berdaftar atas nama isterinya serta meraih keuntungan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM2,000.

Peguam turut menjelaskan bahawa anak guamnya tiada sebab untuk melarikan diri kerana tinggal bersama keluarga dan mempunyai perniagaan tetap di Malaysia, selain berjanji hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dalam bentuk cagaran wang tunai yang perlu disimpan dalam buku simpanan bank mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, seorang lelaki warga Bangladesh, Shah Alam, 53, turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan memberi suapan wang tunai RM500 kepada Mohd Syahrul Azmi Kamaluddin sekitar jam 12 tengah hari pada 24 September 2024.

Perbuatan itu didakwa berlaku di Jalan Bioteknologi 1, Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri, sebagai usaha mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan UUK 3(1), Undang-Undang Kecil MBIP 2018 yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada hukuman asal atau denda, atau kedua-duanya.

Pendakwaan turut mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia atas faktor tertuduh bukan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Salleh Togimi, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang anak, dua adik dan isteri yang tidak bekerja.

“Tertuduh bekerja sebagai buruh kasar di Malaysia lebih 10 tahun dengan pendapatan sekitar RM1,700 hingga RM1,800 sebulan. Dia juga tinggal bersama keluarga di Iskandar Puteri dan mempunyai rakan warganegara yang bersedia menjadi penjamin.

“Kami berpendapat jumlah jaminan RM5,000 adalah agak tinggi memandangkan keadaan kewangan tertuduh yang terhad. Anak guam kami hanya mampu membayar RM2,000 jika dibenarkan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia terhadap tertuduh.

Hakim turut menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh serahan semula dokumen berkaitan kes berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!