Ringgit mengukuh, hutang negara menurun - PM

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ringgit Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, selari dengan usaha kerajaan mengukuhkan pentadbiran serta mengurus kewangan negara dengan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan nilai ringgit jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pelaksanaan pembaharuan Ekonomi Madani yang digerakkan kerajaan ketika ini.

“Setakat 18 Jun lalu, ringgit mengukuh 5.2 peratus ketimbang dolar Amerika Syarikat selain turut mengatasi mata wang utama dan serantau lain.

“Ia peningkatan 6.3 peratus ketimbang rupiah Indonesia, renminbi China (3.6 peratus), peso Filipina (3.2 peratus), dolar Australia (0.6 peratus) dan baht Thailand (0.1 peratus),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat semua agensi di bawah Kementerian Kewangan, bukan semata-mata usaha menteri semasa.

“Pencapaian itu bukan sahaja melibatkan Menteri Kewangan sahaja, tetapi bagaimana Perbendaharaan mengatur semua agensi terlibat selain mengharapkan momentum itu dikekalkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, usaha reformasi fiskal yang dilaksanakan turut mendapat pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“IMF melalui Misi Artikel IV, 2025 turut memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal dengan menyifatkan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 sebagai tonggak penting reformasi fiskal negara,” katanya.

Beliau memaklumkan, pengurusan fiskal yang baik telah membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan hutang negara dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga telah mengawal pertumbuhan hutang negara yang mana jumlah hutang baharu kian menurun daripada RM100 bilion (2022) kepada RM85 bilion (2024) dan unjuran tahun ini RM80 bilion.

"Maknanya, sejak kita ambil alih, kita sudah turun hutang RM20 bilion," katanya.

Menurut Anwar, prestasi pentadbiran kerajaan secara keseluruhannya terus menunjukkan pengukuhan dan diurus dengan baik berdasarkan beberapa pencapaian ekonomi dan daya saing negara.

“menerusi data World Competitiveness Ranking 2025 dikeluarkan IMD minggu lalu, Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 di dunia, melonjak 11 anak tangga ketimbang tangga ke-34 tahun lalu.

"Ini pencapaian terbaik sejak tahun 2020. Kita merupakan satu-satunya negara yang menunjukkan prestasi peningkatan lebih 10 anak tangga,” katanya.

Beliau berkata, kecekapan perniagaan juga melonjak lapan anak tangga, menunjukkan pelaksanaan dasar fiskal dan kewangan yang diterajui kerajaan serta peranan penjawat awam yang cekap.

“Jadi, maknanya tidak sia-sialah kita perkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)," katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pertumbuhan KDNK untuk suku pertama 2025 kekal stabil pada paras 4.4 peratus walaupun ekonomi global dalam keadaan tidak menentu.

Beliau berkata, kadar pengangguran turut menunjukkan penurunan konsisten sejak beberapa tahun lalu.

“Sebab itu kita lihat bagaimana keadaan pengangguran, kadar itu kita lihat pada April lalu masih kekal pada 3 peratus, turun 3.9 peratus (April 2022), 3.5 peratus (April 2023) dan 3.3 peratus (April 2024),” katanya.

Kadar pengangguran pada April 2025 merupakan yang terendah dicatatkan sejak 10 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!