Eksekutif akaun putih mata wang RM140,000 lesap

MUAR – Seorang wanita tempatan berumur 40 tahun kerugian RM139,565 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan pendakwa raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif akaun telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada Januari lalu, yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans.
“Pemanggil itu mendakwa pengadu membuat tuntutan insurans palsu.
“Panggilan kemudiannya disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di mana pengadu berhubung dengan seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, individu berkenaan mendakwa mangsa terlibat dalam 21 laporan polis berkaitan skim pelaburan tidak wujud, dan memaklumkan bahawa satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.
“Pengadu diarahkan membuka satu akaun bank atas nama sendiri untuk tujuan siasatan, dan diminta memasukkan wang ke dalam akaun tersebut kononnya sebagai penyelesaian kes.
“Pengadu juga menyerahkan butiran kad bank kepada individu terbabit kerana percaya kepada arahan yang diberikan,” jelasnya.
Menurut beliau, mangsa telah melakukan sebanyak 30 transaksi ke dalam akaun tersebut bermula 31 Januari hingga 17 Jun tahun ini, melibatkan jumlah keseluruhan RM139,597.
“Hasil semakan ke atas akaun milik pengadu mendapati berlaku pengurangan wang sebanyak RM139,565 melalui 38 transaksi ke 20 akaun bank berbeza.
“Pengadu hanya menyedari dirinya ditipu selepas semua nombor telefon yang dihubungi telah disekat,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Susulan itu, pihak polis mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan yang mungkin datang daripada sindiket penipuan.
“Jangan sesekali dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, butiran kad pengenalan atau kod OTP kepada pemanggil tidak dikenali.
“Orang ramai juga digalakkan mengikuti laman media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk mendapatkan maklumat mengenai modus operandi scammer,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!