Pulau Pinang tersenarai 10 pulau terbaik di Asia Pasifik 2025

GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa apabila tersenarai dalam kelompok 10 pulau terbaik di rantau Asia Pasifik bagi tahun 2025.
Pengiktirafan itu diumumkan dalam Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific 2025, sebuah portal anugerah berprestij yang menilai dan memberi pengiktirafan kepada bandar serta pulau peranginan terbaik berdasarkan undian pembaca dari seluruh dunia.
Selain Pulau Pinang, destinasi lain yang turut tersenarai termasuk Bali (Indonesia), Koh Samui dan Phuket (Thailand), Phu Quoc (Vietnam), Palawan dan Siargao (Filipina), Langkawi (Malaysia), Sri Lanka dan Sumba (Indonesia).
Bali yang digelar Pulau Dewata terus berada di tempat pertama dengan daya tarikan resort mewah, kelab pantai eksklusif dan pelbagai pilihan restoran bertaraf antarabangsa.

Pulau itu juga terkenal dengan kebudayaan Hindu dan animisme yang mendalam, tarian kuil yang memukau serta suasana spiritual yang penuh mistik.
Pulau Pinang pula disifatkan sebagai destinasi yang bukan hanya kaya dengan warisan dan seni bina kolonial tetapi turut menawarkan pengalaman gastronomi pelbagai cita rasa dan bertaraf dunia.
Negeri ini terus menarik pelancong dari pelbagai negara dengan pantainya yang cantik, suasana santai dan pelbagai acara kebudayaan yang mempamerkan identiti Malaysia yang penuh warna-warni.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, pengiktirafan itu dijangka dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau Asia Pasifik.
Katanya, ia selaras dengan usaha kerajaan negeri dan pemain industri pelancongan tempatan dalam memperkasa produk pelancongan yang mampan dan berdaya saing tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!