Gaji tak naik-naik, tapi harga barang sentiasa naik

FENOMENA kenaikan harga barang harian tak dinafikan semakin meresahkan rakyat.
Walaupun inflasi rasmi kelihatan terkawal, hakikatnya harga makanan di kedai makan, pasar dan kedai runcit terus meningkat, melebihi kadar pertumbuhan pendapatan kebanyakan isi rumah.
Gaji permulaan lepasan universiti masih terperangkap sekitar RM2,500 walaupun gaji minimum sudah naik sehingga RM1,700 sebulan.
Dalam tempoh dua hingga tiga tahun bekerja, ramai pekerja masih tidak dapat melihat sebarang kenaikan signifikan.
Sebaliknya, kos sara hidup meningkat secara beransur, namun konsisten. Analogi lebih mudah untuk kita lihat di mana segelas teh O ais yang dahulunya RM1.80 kini mencecah RM3.20 di sesetengah kawasan bandar.
Isunya bukan semata-mata harga minuman atau barangan lain. Ia menjadi simbol kepada masalah lebih besar iaitu jurang antara kadar kenaikan harga dan kadar kenaikan gaji.
Apabila kos hidup mendahului gaji untuk tempoh berpanjangan, kuasa beli rakyat merosot, simpanan terhakis dan akhirnya tekanan kewangan meningkat.
Bantuan tunai seperti Skim Tunai Rahmah (STR) dan Skim Saraan Hidup (SARA) sememangnya membantu, tetapi ia berbentuk sementara. Rakyat memerlukan penyelesaian bersifat struktural, bukan sekadar suntikan semusim.
Sebab itu, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang diwar-warkan oleh Menteri Ekonomi sebelum ini wajar dipercepat dan diperluas.
Ini kerana dengan pelaksanaan dasar gaji baharu itu, sekurang-kurangnya ia mampu mengimbangi kenaikan harga barangan dan rakyat dapat menyerap tekanan beban kewangan mereka.
Dasar ini untuk memastikan gaji pekerja naik secara berkala mengikut prestasi dan produktiviti.
Ini penting sebab ramai pekerja hari ini sudah lama tidak merasa kenaikan gaji yang sepadan dengan beban kerja mereka.
Namun ia mesti disokong dengan penguatkuasaan kawalan harga barang keperluan, reformasi rantaian bekalan dan pemantauan terhadap margin keuntungan yang tidak munasabah.
Jika ekonomi negara terus berkembang, tetapi rakyat tidak merasai nikmatnya dalam bentuk gaji yang adil dan harga yang berpatutan, maka wujudlah ketidakseimbangan yang mengundang kegelisahan sosial.
Rakyat tidak menuntut kemewahan. Mereka cuma mahukan keadilan agar pendapatan yang diperoleh cukup untuk hidup dengan selesa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!