Harga makanan bazar Ramadan naik, pembeli akui rasa terbeban

SHAH ALAM - Trend peningkatan harga makanan hingga mencecah RM3 di bazar Ramadan sekitar daerah ini bagi kebanyakan juadah berbuka puasa yang popular seperti martabak, roti john dan air balang, nyata membebankan pembeli.
Tinjauan Sinar Harian di bazar Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendapati, rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan operasi penjualan.

Peniaga air balang, Muhammad Nur Irfan Md Azeham, 28, mengakui terpaksa menaikkan harga jualannya sebanyak 50 sen bagi menampung kenaikan kos bahan mentah.
Menurutnya, perkara itu tidak dapat dielakkan susulan kos bahan utama untuk membuat air seperti gula dan susu semakin mahal.
“Harga barang naik, jadi memang tidak boleh kekalkan harga lama. Tahun lepas saya jual RM5.50 dan jika tidak naikkan harga memang sukar nak untung,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Peniaga martabak, Maizal Kamaruddin, 61, pula berkata, kenaikan harga jualan makanan itu perlu dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk kenaikan harga sewaan tapak niaga.
“Bukan sengaja nak naikkan harga RM1 tetapi kalau kos bahan mentah terus meningkat, memang susah hendak kekalkan harga lama. Begitu juga dengan harga sewaan tapak niaga pun ada sedikit meningkat,” katanya.
Selain itu, tinjauan Sinar Harian turut mendapati harga makanan bagi sebungkus nasi tomato berlaukkan ayam boleh mencecah RM15, manakala martabak bersaiz besar kini dijual pada harga RM8 hingga RM10 sekeping.
Selain itu, air balang dijual dalam bungkusan plastik pula berharga RM6 diikuti dengan roti john yang boleh mencecah sehingga RM14.

Menurut seorang pengunjung bazar, Shamsiah Salji, 60, kenaikan harga jualan sudah dapat diramal kerana harganya tidak jauh berbeza dengan produk makanan dijual di pasar malam sebelum ini.
“Saya dan suami memang sudah jangka harganya akan meningkat berbanding tahun lepas. Ini kerana jika kami membeli di pasar malam sekali pun, harganya hampir serupa.
“Memang terasa agak membebankan, tetapi apa boleh buat kita sudah maklum bahawa kos bahan mentah semakin meningkat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Wan Mohd Shafiq Mohd Nor, 38, berkata, jika dahulu RM30 sudah memadai untuk membeli juadah berbuka bagi tiga ahli keluarganya namun kini nilai tersebut tidak lagi cukup.
“Rasa tertekan sebab dalam sehari kami mungkin perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM50 hingga RM60 di bazar Ramadan.
“Kalau dahulu boleh pilih pelbagai jenis makanan yang murah, tetapi sekarang bagi saya rasa semua harga sama sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

