Sindiket e-waste kian licik, JAS bongkar taktik baharu seludup sisa

KUALA LUMPUR – Tidak memasang alat kawalan pencemaran antara taktik dikesan dilakukan oleh pemilik premis yang memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram di negara ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Zul berkata, siasatan awal mendapati kilang-kilang terbabit beroperasi dengan kos rendah kerana menerima bahan mentah secara percuma atau dibayar oleh pihak tertentu.
Beliau berkata, pemilik kilang kemudian menjual semula hasil proses dengan harga pasaran tinggi.
“Tindakan memproses e-waste tanpa alat kawalan menyebabkan bahan toksik terlepas ke alam sekitar dan ini memberi kesan kepada kesihatan awam serta alam sekitar.
“JAS sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menangani isu ini, termasuk memberi latihan kepada mereka untuk mengenal pasti bahan-bahan e-waste yang cuba diseludup masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis.
Beliau berkata, semakan mendapati Malaysia menjadi antara negara sasaran sindiket untuk menghantar sisa elektronik secara haram, termasuk dari negara Eropah.
“Setakat ini, lebih 600 kontena e-waste berjaya dikesan di Pelabuhan Klang dan bahan itu dibawa masuk atas nama barangan kitar semula.
“Pelbagai taktik licik dan mengelirukan digunakan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan haram ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terhadap tujuh premis berlesen yang dipercayai memproses sisa elektronik atau e-waste yang dibawa masuk dari luar negara secara tidak sah.
Menurutnya, siasatan melibatkan 57 premis dalam Operasi Bersepadu Hazard 2.0, dan tujuh daripadanya dikenal pasti memiliki lesen sah untuk memproses buangan terjadual dalam negara.
“Siasatan mendapati tujuh premis ini diberi lesen untuk memproses e-waste tempatan, namun bahan yang diterima menyerupai sisa yang dipercayai berasal dari luar negara.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan susulan akan diambil,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa 453 individu termasuk 392 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Hazard 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara pada 16 Jun lalu. Operasi itu melibatkan serbuan ke atas 57 premis di sembilan negeri.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 1,582 pegawai dan anggota, termasuk 1,089 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 493 lagi daripada lebih 12 agensi penguatkuasaan lain, menjadikannya antara operasi terbesar pernah dilaksanakan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

