12 warga Indonesia termasuk tekong darat diberkas

SEPANG – Seramai 12 warga Indonesia, termasuk seorang tekong darat, ditahan dalam Op Nyah Taring 1 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih di Jalan Besar, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Amanjit Singh berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 6 pagi itu menahan sepuluh lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun.
"Pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
"Hasil siasatan lanjut, seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai sebagai tekong darat (transporter) turut ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Amanjit berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda CR-V serta sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM120,350.
"Kesemua individu dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/1963.
"Masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seramai 12 warga Indonesia, termasuk seorang tekong darat, ditahan oleh Pasukan Gerakan Am di Sepang
- Operasi dijalankan pada jam 6 pagi dan menahan 10 lelaki serta seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun
- Individu ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai ingin pulang melalui laluan laut yang tidak diwartakan
- Seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai sebagai tekong darat turut ditahan
- Pihak berkuasa merampas sebuah Honda CR-V dan telefon bimbit Samsung Galaxy dengan nilai keseluruhan RM120,350
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
