Tiada jualan minyak masak peket kepada warga asing - KPDN Selangor

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesahkan tiada penjualan minyak masak peket kepada warga asing di sebuah premis di Bangi.
Menurut kenyataan KPDN Selangor, pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis berkenaan pada Ahad susulan susulan video tular berkaitan dakwaan premis itu menjual minyak masak peket kepada warga asing
"Premis itu sebenarnya menghalang pembelian minyak masak peket kepada warga asing dan tiada sebarang jualan berlaku," katanya.
Bagaimanapun, KPDN Selangor memaklumkan pihaknya tetap melanjutkan pemeriksaan ke atas premis itu berkaitan perkara pematuhan yang lain.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu disyaki gagal menyelenggara buku rekod barang kawalan berjadual.
"Satu tindakan kes telah diambil ke atas premis di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Terdahulu, media melaporkan KPDN sedang menyiasat sebuah pasar raya di Bangi yang didakwa membenarkan warga asing membeli minyak masak peket.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dilaporkan berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa digerakkan ke premis terbabit bagi menjalankan pemeriksaan.
Isu berkenaan timbul susulan hantaran seorang pengguna di platform Threads yang mendakwa terkejut apabila mendapati warga asing membeli minyak masak peket secara terbuka di pasar raya berkenaan.
Dakwaan itu turut disertakan dengan beberapa rakaman video yang memaparkan situasi di premis berkenaan, selain mendakwa seorang warga emas gagal mendapatkan bekalan minyak masak peket kerana stok dikatakan habis lebih awal.
Ringkasan AI
- KPDN Selangor mengesahkan tiada penjualan minyak masak peket kepada warga asing di sebuah premis di Bangi
- Pemeriksaan dijalankan susulan video tular berkaitan dakwaan tersebut
- Premis tersebut sebenarnya menghalang pembelian oleh warga asing
- KPDN Selangor akan terus melanjutkan pemeriksaan berkaitan perkara pematuhan yang lain di premis itu
- Tindakan kes telah diambil terhadap premis atas kegagalan menyelenggara buku rekod barang kawalan berjadual
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
