Kedah lakukan pemutihan kilang e-waste haram

JITRA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Kedah melakukan usaha pemutihan bagi mengenal pasti dan mengesahkan operasi kilang termasuk kitar semula sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di negeri ini.
Exco Industri dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, langkah ini penting bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar serta menjaga imej negeri dan negara.
“Kami telah menyediakan kertas dasar bagi membolehkan pengesahan semua premis yang beroperasi dalam keadaan tidak jelas, khususnya pusat kitar semula e-waste yang tidak berdaftar.
“Langkah ini perlu diambil kerana tanpa kawalan yang berkesan, operasi sebegini boleh mencemarkan imej negeri dan negara, serta mendatangkan kemudaratan serius kepada komuniti setempat,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika merasmikan Hub Sumber Kitar Semula GRRSB, di sini.
Hub tersebut dilengkapi mesin berteknologi AI ini mampu mengenalpasti jenis plastik dan diasingkan mengikut kategori seperti PET dan HDPE dan bahan yang telah diasingkan ini kemudiannya dibungkus bagi tujuan penjualan.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd (EISB), Zaki Abdul Aziz Daud dan Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Jalil.
Haim Hilman berkata, sebahagian pengusaha memilih untuk mengambil risiko dikenakan tindakan undang-undang berbanding memohon lesen yang sah, semata-mata kerana mengejar keuntungan.
“Kita mahu ubah mentaliti ini. Perniagaan bukan sekadar tentang keuntungan. Ada tanggungjawab sosial dan alam sekitar yang perlu dijaga,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan pusat yang gagal mematuhi syarat operasi ditutup.
Dalam masa sama, katanya, pemutihan ini turut disertakan dengan pendekatan pendidikan bagi membantu pengusaha memahami prosedur yang betul.
“Ramai mungkin tidak faham proses ini kerana kurang maklumat. Di sinilah peranan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk memberi penerangan dan bimbingan,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua pihak termasuk pemilik kilang, agensi penguat kuasa dan kerajaan.
Sementara itu, Zaki berkata, teknologi AI ini adalah kesinambungan kepada beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh EISB.
“Pelaburan kami dalam teknologi AI mencerminkan komitmen terhadap inovasi dan kelestarian alam sekitar. Ke arah Revolusi Industri 4.0, E-Idaman telah memperkenalkan beberapa inisiatif lain seperti aplikasi idamanXchange, Drive Thru Recycle Centre dan juga yang terkini ‘Glutton Electrik Vacuum Litter Cleaner'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

