JAS tahan 38 kontena berisi e-waste

Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pada kontena yang terlibat di NBCT pada Rabu.
Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pada kontena yang terlibat di NBCT pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH – Sebanyak 38 buah kontena yang disyaki mengandungi sisa plastik tercemar dan bahan buangan elektrik serta elektronik (e-waste) telah ditahan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dalam pemeriksaan bersepadu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang bersama beberapa agensi penguat kuasa lain.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata, pemeriksaan itu dijalankan bagi memastikan kontena-kontena yang dibawa masuk ke Malaysia mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta obligasi undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, pemeriksaan pada Rabu tersebut melibatkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Penang Port Sdn Bhd.

Norazizi menunjukkan sisa e-waste yang ditemui di salah satu kontena NBCT, pada pemeriksaan yang dilakukan pada Rabu.
Norazizi menunjukkan sisa e-waste yang ditemui di salah satu kontena NBCT, pada pemeriksaan yang dilakukan pada Rabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 38 daripada 39 kontena membawa campuran sisa plastik tercemar seumpama sampah yang dibawa masuk ke negara ini.

“Tindakan notis arahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport dan ejen bagi arahan menghantar semula 38 buah kontena tersebut ke negara asal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Norazizi berkata, ketika ini kesemua 38 buah kontena terbabit ditahan di Terminal NBCT, manakala satu kontena lagi yang mengandungi plastic flake dalam keadaan baik diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan.

Beliau menjelaskan bahawa penahanan ini merupakan tindakan terbesar bagi tahun ini oleh JAS Pulau Pinang berkaitan sisa plastik tercemar dan e-waste yang dibawa masuk ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, sebanyak 65 daripada 70 kontena telah diarahkan untuk dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini.

“Bagi tahun 2023 dan 2024, rekod menunjukkan hanya tiga kontena telah diperiksa, dan kesemuanya diarahkan dihantar pulang atas pelbagai kesalahan termasuk membawa masuk sisa elektrik dan elektronik serta plastik tercemar,” jelasnya.

Sehubungan itu, Norazizi menegaskan bahawa kerjasama semua pihak adalah amat penting bagi memastikan pengimportan sisa plastik ke Malaysia adalah terkawal, sah di sisi undang-undang, serta tidak menjadi punca kepada pencemaran yang lebih serius.

“JAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan JKDM, JPSPN, SWCorp, pihak berkuasa negeri dan tempatan serta pihak berkuasa pelabuhan bagi memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk negara. Usaha ini penting agar Malaysia tidak menjadi negara digelar ‘tong sampah dunia’,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!