'348 kontena e-waste cuba seludup masuk Pelabuhan Klang'

SHAH ALAM - Operasi khas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula Ogos tahun lepas mengesan cubaan penyeludupan masuk 348 kontena membawa muatan sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, operasi setakat Februari itu telah memeriksa 389 kontena.
Katanya, sebanyak 348 daripada kontena dagangan itu telah disahkan sebagai e-waste dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Selain itu, terdapat juga kes pengimportan e-waste di pelabuhan Pulau Pinang melibatkan 26 buah kontena bagi tempoh dari Januari tahun lepas hingga Februari lalu.
"Semua kontena ini juga telah diserahkan kepada JAS dan diarahkan untuk dieksport semula ke negara asal yang mana kos penghantaran semula akan ditanggung oleh pengimport," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, bagi dagangan e-waste yang diimport ke Malaysia, pengimportan hanya dibenarkan sekiranya ada kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling seperti yang ditetapkan di bawah Butiran 54, Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Jelasnya, dalam suatu proses pelepasan kontena di pelabuhan, jika didapati kontena yang hendak dilepaskan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) mengandungi e-waste, JKDM akan menyerahkannya kepada JAS.
"Berdasarkan statistik tahun lepas, JKDM telah mengimbas sebanyak 1,420,845 buah kontena import di Pelabuhan Barat termasuk kontena yang melibatkan e-waste.
"Statistik ini menunjukkan JKDM mampu membuat imbasan 100 peratus bagi semua kontena masuk (import) di Pelabuhan Barat, Malaysia," ujarnya.
Selain itu, tambah Anis, dalam kes yang melibatkan pengimportan senjata api, ia tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Menurutnya, senjata api termasuk tiruan adalah larangan bersyarat kecuali jika ia diimport mengikut ketetapan yang diperuntukkan di bawah Butiran 45, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportan dibenarkan dengan syarat pengimport memiliki lesen import dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Polis mengikut Akta Senjata 1960 (Akta 206).
"Penemuan kes kelongsong peluru, anak peluru, sisa amunisi dan peluru hidup tidak boleh ditakrifkan sebagai senjata.
"Sekiranya terdapat keraguan ke atas kemasukan kontena yang mengandungi senjata api, pemeriksaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilakukan dan barang tersebut akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya lagi, kelongsong peluru dan anak peluru yang bukan dalam keadaan asal dan sisa amunisi diklasifikasikan sebagai 'copper scrap' yang mana pengimportannya tertakluk kepada kelulusan SIRIM seperti diperuntukkan di bawah Butiran 5, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Justeru, JKDM sentiasa menjalin kerjasama melalui sesi libat urus dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar secara khususnya, JAS, pihak berkuasa pelabuhan dan PDRM.
"Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan kolaborasi strategik dalam memperkasakan penguatkuasaan jenayah rentas sempadan ke Malaysia.
"JKDM sentiasa komited untuk memastikan kelancaran operasi dan keberkesanan pengawasan di pintu masuk utama negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!