Polis tumpas sindiket e-waste haram, rampas kelongsong peluru bernilai RM23.8 juta

KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi berjaya menumpaskan satu sindiket penyimpanan dan pemprosesan haram sisa elektronik (e-waste) serta peluru dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Lombong, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, serbuan yang dijalankan antara jam 4 petang hingga 6 pagi tadi turut merampas pelbagai komponen elektronik, tembaga, kelongsong peluru serta anak peluru yang disimpan tanpa kebenaran dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23.8 juta.

Menurutnya, polis berjaya menahan tiga individu, iaitu seorang lelaki warga China berusia 50 tahun serta pasangan warga Myanmar masing-masing berusia 24 dan 23 tahun.
"Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik serta bahan berbahaya secara haram.
"Kita turut menemui tujuh tong berisi kelongsong peluru dan satu tong mengandungi anak peluru. Penemuan ini amat membimbangkan kerana ia boleh disalahgunakan untuk tujuan jenayah," katanya.

Tambah Yusof, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu tanpa sebarang lesen sah termasuk kebenaran pemprosesan e-waste serta permit berkaitan senjata api.
"Semakan turut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai dokumen sah untuk bekerja, sebaliknya hanya berada di negara ini dengan menggunakan visa lawatan.
"Mereka direman selama empat hari, bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan. Polis kini sedang menyiasat rangkaian sindiket ini serta sumber bekalan bahan buangan elektronik dan peluru yang dirampas," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sindiket ini bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah berpotensi mencemarkan alam sekitar dengan lambakan sisa elektronik yang diproses secara tidak terkawal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki kelongsong dan anak peluru tanpa kebenaran serta Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 berkaitan penyimpanan sisa elektronik secara haram.
"Suspek juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen kerja yang sah. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada polis di talian IPK Johor 019-2792095 atau bilik gerakan polis Johor di 07-2212999.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Muhamad Syahrizat Alwee memaklumkan bahawa kilang berkenaan telah disita sehingga 15 Mac 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!