Sindiket e-waste selindung di sebalik barang lusuh, nilai rampasan lebih RM33 juta

PELABUHAN KLANG – Kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram berselindung di sebalik premis barangan lusuh terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 merampas pelbagai peralatan termasuk barangan buangan terjadual bernilai RM33.18 juta dalam serbuan di Taman Perindustrian Meru, Kapar, pada Khamis.
Operasi sekitar jam 11 pagi itu hasil maklumat dan risikan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, premis berlesen itu dipercayai menjalankan kegiatan haram dengan berselindung di sebalik lesen sah pengumpulan barangan lusuh.
Beliau berkata, sindiket menggunakan taktik menempatkan longgokan barangan lusuh di bahagian hadapan kilang untuk mengaburi pihak berkuasa.
"Siasatan mendapati premis ini hanya mempunyai lesen untuk mengumpul barangan lusuh tetapi menjalankan pemprosesan sisa elektronik secara haram di bahagian belakang kilang menggunakan mesin khas bagi mengekstrak bahan berharga seperti tembaga dan aluminium.
"Pekerja asing ditinggalkan sebagai penjaga premis pada waktu siang bagi memberi gambaran kilang ini sekadar pusat pengumpulan barang terpakai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, pada Jumaat.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun yang merupakan penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan.
Rusley berkata, pemeriksaan menemui sebanyak 1.23 juta kg e-waste yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Antara barangan yang dirampas ialah tembaga seberat 16,100 kilogram, aluminium belum diproses (112,000kg), aluminium diproses (207,900kg) dan sisa e-waste campuran seberat 868,500kg dengan nilai keseluruhan mencecah RM33.18 juta.
"Turut disita tiga unit forklift, dua alat penimbang, sebuah lori, sebuah mesin 'dewatering' dan tiga buah mesin 'conveyer'," katanya.
Rusley berkata, sindiket dipercayai memperoleh e-waste dari luar negara sebelum diproses semula dan dieksport, manakala sisa buangan berjadual ditinggalkan di negara ini tanpa pelupusan selamat.
"Kegiatan ini bukan sahaja memberi keuntungan lumayan kepada sindiket, malah meninggalkan kesan pencemaran alam sekitar dalam jangka panjang," katanya.
Menurutnya, usaha mengesan pemilik premis yang dipercayai warga tempatan sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 18(1), Seksyen 19 dan Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

