Dadah RM10.8 juta dirampas di sempadan Malaysia–Thailand

ALOR SETAR - Tindakan pantas polis berjaya melumpuhkan sindiket pemprosesan dan penyeludupan dadah yang dipercayai beroperasi merentasi sempadan Malaysia - Thailand, sekali gus merampas heroin base dan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM10.8 juta.
Operasi khas tersebut dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Office of the Narcotics Control Board (ONCB) Thailand, JSJN Pulau Pinang, Kedah dan Sekretariat Narkotik Nukleus (SNN) Kedah-Perlis yang melakukan rampasan terbesar dadah di utara bagi tahun 2025 setakat ini.
Pemangku Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata, kejayaan tersebut susulan dua suspek warga tempatan ditahan dalam dua kejadian berasingan pada Ahad lalu.
Menurutnya, tangkapan pertama dibuat jam 5.40 petang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang memandu kereta Honda Accord.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 160 bungkusan plastik berisi heroin base seberat 59.20 kilogram disembunyikan dalam ruang khas di belakang tempat duduk.
"Tangkapan kedua pula dibuat hanya 15 minit kemudian di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan, melibatkan seorang wanita berumur 35 tahun memandu kereta sama jenis.
"Hasil pemeriksaan menemukan 155 bungkusan heroin seberat 21.26 kilogram dan 35 peket serbuk disyaki MDMA seberat 2.37 kilogram," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Khamis.
Jelas Mat Zani, sindiket tersebut dipercayai menggunakan kenderaan persendirian yang telah diubah suai bagi menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia sebelum diproses di sekitar Pulau Pinang.
Menurutnya, rampasan keseluruhan dadah itu dianggarkan cukup untuk merosakkan seramai 7.8 juta individu tempatan dan antarabangsa.
"Setiap suspek menerima bayaran sehingga RM20,000 bagi tugas penghantaran sebagai 'transporter'. Kedua-dua suspek adalah rangkaian sindiket,” ujarnya.
Tambah beliau, selain rampasan dadah, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Saga yang dianggarkan bernilai RM66,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah nilai RM10.9 juta.
"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabit kesalahan.
"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek bebas daripada dadah, manakala semakan rekod lampau menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini," katanya lagi.
Ujarnya, ini adalah kali kedua suspek menjadi 'transporter' dan kali pertama berjaya meloloskan diri pada awal Januari lalu.
Mat Zani memberitahu, pihaknya percaya beberapa lagi tangkapan akan dapat dilakukan di sebelah Thailand dan sekitar negara ini dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

