KDN teliti cadangan pembinaan tembok di sempadan Kelantan-Thailand

Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok sebagai usaha membendung aktiviti penyeludupan, sebagaimana dicadangkan oleh Polis Kelantan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan melihat perkara tersebut daripada pelbagai aspek.

“Kita mahu pastikan sempadan negara benar-benar selamat dan terpelihara.

“Bukan sahaja mahu kawal dadah, tetapi juga perkara-perkara lain,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Kelantan di Hotel Perdana, pada Khamis.

Menurut beliau, segala cadangan daripada pelbagai pihak akan diperhalusi dengan sebaik mungkin supaya sempadan negara tidak mudah dibolosi.

Shamsul Anuar berkata, KDN sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek kawalan sempadan bagi memastikan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.

Ujarnya, KDN mempunyai maklumat mengenai lokasi sempadan yang perlu diberikan kawalan ketat oleh agensi berkaitan.

“Kawalan sempadan ini tidak hanya melibatkan Kelantan, tetapi seluruh negara,” katanya.

Media tempatan pada 11 Jun lalu melaporkan bahawa Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berpandangan bahawa pembinaan tembok atau pagar sempadan di kawasan Kelantan-Selatan Thailand mampu membantu menangani kegiatan penyeludupan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ini kerana sempadan antara kedua-dua wilayah sangat terbuka dan membabitkan jarak sepanjang 45 kilometer (km).

Katanya lagi, untuk kawasan sepanjang itu, Polis Kelantan hanya mempunyai lapan pos kawalan, dan sudah tentu terdapat kelompongan yang menyebabkan aktiviti penyeludupan masih berlaku.

Justeru, beliau berpendapat bahawa hanya pembinaan tembok secara menyeluruh dapat menyelesaikan isu penyeludupan di kawasan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!