Tembakan terbuka: Cabaran besar polis pulihkan keyakinan, keselamatan

Dua insiden tembakan terbuka dalam seminggu di Kuala Lumpur cetus kebimbangan awam meskipun polis beri jaminan keselamatan masih terkawal
Dua insiden tembakan terbuka dalam seminggu di Kuala Lumpur cetus kebimbangan awam meskipun polis beri jaminan keselamatan masih terkawal
A
A
A

DUA insiden tembakan terbuka yang berlaku dalam tempoh kurang seminggu di ibu negara menimbulkan kebimbangan awam meskipun pihak polis menegaskan tahap keselamatan masih terkawal.

Dalam insiden pertama, seorang lelaki maut selepas ditembak ketika sedang minum di sebuah restoran di Brickfields manakala dalam kejadian terbaharu di Cheras pula, dua lelaki maut selepas ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah.

Walaupun kedua-dua kes dipercayai mempunyai sasaran tertentu akibat perseteruan, hakikat bahawa insiden seperti itu berlaku di ruang terbuka membayangkan wujudnya cabaran keselamatan yang perlu ditangani secara serius.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ibu negara masih berada dalam keadaan baik dan terkawal. Namun persoalan timbul, apakah bentuk kawalan yang diperlukan agar jenayah berkenaan tidak menjadi norma baharu di bandar besar?

Masyarakat kini berdepan dengan keresahan psikologi. Jika tembakan boleh berlaku di restoran terbuka dan kawasan awam tanpa sebarang amaran, bagaimana pula tahap keyakinan orang awam untuk menjalani rutin harian mereka?

Pihak berkuasa perlu menilai semula keberkesanan sistem rondaan, kehadiran polis secara strategik dan keupayaan risikan bagi mengesan perancangan jenayah lebih awal, terutamanya yang berpunca daripada konflik peribadi atau perebutan kuasa dalam sindiket.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan jenayah terancang untuk merentas sempadan negeri.

Dalam siasatan awal, suspek kes di Cheras dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti dari Sarawak, manakala kes di Brickfields dipercayai berpunca daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ia mencerminkan bahawa jenayah berkonflik kini bukan lagi terhad kepada satu lokasi atau kumpulan kecil, tetapi telah berkembang dengan jaringan yang lebih luas dan merupakan satu cabaran besar kepada pasukan keselamatan.

Dari sudut komunikasi awam, pihak berkuasa perlu lebih proaktif memberi maklumat yang jelas dan meyakinkan bagi mengelakkan penyebaran spekulasi dan ketakutan dalam kalangan rakyat, terutamanya di media sosial.

Insiden sebegini juga memberi kesan langsung kepada reputasi ibu kota sebagai pusat pelancongan dan pelaburan. Keyakinan pelabur dan pelancong boleh terjejas jika keselamatan awam dilihat longgar atau tidak konsisten.

Justeru, pendekatan menyeluruh diperlukan — bukan sahaja tindakan keras terhadap pelaku, tetapi juga pengukuhan sistem pemantauan, kerjasama antara kontinjen polis negeri, dan pelaksanaan teknologi pemantauan moden.

Pasukan keselamatan negara perlu kekal tangkas, berwibawa dan sentiasa setapak di hadapan penjenayah dalam suasana cabaran jenayah yang semakin kompleks dan agresif, kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!