Kes tembakan terbuka: Polis jamin tahap keselamatan ibu negara masih terkawal - KPN

KUALA LUMPUR - Meskipun dua kes tembakan terbuka dilaporkan berlaku dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras, baru-baru ini, pihak polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ibu negara masih terkawal dan dalam keadaan aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua kes tembakan tersebut dipercayai mempunyai sasaran tertentu akibat perseteruan.
Menurut beliau, orang ramai di sekitar ibu negara tidak perlu bimbang terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
"Seperti kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum ini, kedua-dua kejadian terbabit dipercayai berlaku disebabkan perseteruan.
"Ingin saya tegaskan bahawa kedua-dua kejadian bukanlah tembakan rambang, sebaliknya mempunyai motif tertentu.
"Jadi, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tahap keselamatan di sekitar ibu negara masih terkawal,” katanya pada Rabu.
Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis menerusi Kontinjen Kuala Lumpur bersama pelbagai elemen lain akan terus mempertingkat kawalan dan menggiatkan operasi bagi memastikan keselamatan sekitar ibu negara terjamin.
“Kuala Lumpur masih selamat dan polis akan memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin.
"Tidak perlu bimbang dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta tampil membantu polis," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua kejadian tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dilaporkan berkata, kedua-dua kes jenayah tembakan yang berlaku adalah akibat masalah yang berlaku di luar Kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembakan membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam Selasa, dipercayai berpunca daripada aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
“Bagi kejadian tembakan yang berlaku di Brickfields pada Jumaat pula, ia dipercayai berpunca daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
