Cabaran besar polis pulihkan keyakinan, keselamatan rakyat

DUA insiden tembakan terbuka yang berlaku dalam tempoh kurang seminggu di ibu negara menimbulkan kebimbangan awam, meskipun pihak polis menegaskan bahawa tahap keselamatan masih terkawal.
Dalam insiden pertama, seorang lelaki maut selepas ditembak ketika sedang minum di sebuah restoran di Brickfields. Manakala dalam kejadian terbaharu di Cheras, dua lelaki maut selepas ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah.
Walaupun kedua-dua kes dipercayai mempunyai sasaran tertentu akibat perseteruan, hakikat bahawa insiden sebegini berlaku di ruang terbuka membayangkan wujudnya cabaran keselamatan yang perlu ditangani secara serius.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ibu negara masih berada dalam keadaan baik dan terkawal. Namun persoalan timbul, apakah bentuk kawalan tambahan yang diperlukan agar jenayah seperti ini tidak menjadi norma baharu di bandar besar?
Masyarakat kini berdepan keresahan psikologi. Jika tembakan boleh berlaku di restoran terbuka dan kawasan awam tanpa sebarang amaran, sejauh manakah tahap keyakinan orang awam untuk menjalani rutin harian mereka?
Pihak berkuasa perlu menilai semula keberkesanan sistem rondaan, kehadiran polis secara strategik dan keupayaan risikan dalam mengesan perancangan jenayah lebih awal, terutamanya yang berpunca daripada konflik peribadi atau perebutan kuasa dalam sindiket.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan jenayah terancang untuk merentas sempadan negeri.
Dalam siasatan awal, suspek dalam kes Cheras dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti dari Sarawak, manakala kes di Brickfields pula dikatakan berpunca daripada konflik jenayah yang berlaku di Selangor.
Ini mencerminkan bahawa jenayah berkonflik kini bukan lagi terhad kepada satu lokasi atau kumpulan kecil, tetapi telah berkembang dalam jaringan yang lebih luas dan merupakan cabaran besar kepada pasukan keselamatan.
Dari sudut komunikasi awam, pihak berkuasa juga perlu lebih proaktif dalam memberi maklumat yang jelas dan meyakinkan bagi mengelakkan penyebaran spekulasi serta ketakutan dalam kalangan rakyat, khususnya di media sosial.
Insiden sebegini turut memberi kesan langsung kepada reputasi ibu kota sebagai pusat pelancongan dan pelaburan. Keyakinan pelabur dan pelancong boleh terjejas jika keselamatan awam dilihat longgar atau tidak konsisten.
Justeru, pendekatan menyeluruh amat diperlukan — bukan sahaja tindakan tegas terhadap pelaku, tetapi juga pengukuhan sistem pemantauan, kerjasama antara kontinjen polis negeri, serta pelaksanaan teknologi pemantauan moden.
Pasukan keselamatan negara perlu kekal tangkas, berwibawa dan sentiasa setapak di hadapan penjenayah dalam suasana cabaran jenayah yang semakin kompleks dan agresif. Kerana dalam soal keselamatan, mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!